Sejarah Sekolah
SMK Senawang 3 pada asal penubuhannya adalah bertujuan untuk mengatasi pertambahan bilangan pelajar aliran perdana (tingkatan 1 hingga tingkatan 5) di sekolah sedia ada akibat pertambahan pesat taman perumahan di sekitar Senawang. Ketiadaan bangunan sekolah yang belum wujud, SMK Senawang 3 telah menumpang di bangunan SMK Senawang. Tuan Haji Jamaluddin bin Ahmad ialah pengetua pertama SMK Senawang 3 (16 Januari 2007 hingga 31 Mac 2011) manakala Tuan Haji Hamidon bin Haji Khalid ialah pengetua kedua mulai 01 April 2011.
Kini, SMK Senawang 3 telah mempunyai bangunan sekolah sendiri yang terletak di Precinct 4, Persiaran Forest Heights 2, Taman Forest Heights 70100 Seremban, Negeri Sembilan. Walaupun setelah empat tahun sekolah ini beroperasi, namun sekolah ini dikatogerikan sebagai sekolah kurang murid. Sehubungan dengan itu, cadangan untuk menubuhkan Pusat Tingkatan Enam Mod 3 (Mod 3 - Sekolah yang mempunyai kurang daripada 12 kelas atau sekolah yang jauh daripada bandar, tiada kemudahan asrama atau pengangkutan awam, dan beroperasi di sekolah arus perdana) di SMK Senawang 3, Seremban telah dikemukakan dalam mesyuarat kali pertama Jabatan Pelajaran Negeri, Negeri Sembilan (JPNS) bersama dengan pihak pengurusan sekolah pada 28 April 2016. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah wakil daraipada JPNS iaitu Tuan Haji Azmi Bin Basir, Tuan Haji Misri Bin Mistama, Encik Mohd Rozi Bin Hamzah dan Encik Azhar Bin Hashim. Susulan daripada mesyuarat tersebut, seramai 130 orang pelajar tingkatan enam daripada tiga buah Pusat Tingkatan Enam Mod 3 iaitu SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SMK Seri Ampangan dan SMK Seri Pagi telah mendaftar di SMK Senawang 3 pada 2 Mei 2016 bagi memulakan sesi pengajian semester 1. Seramai 13 orang guru tingkatan enam juga telah dipindahkan secara pentadbiran ke SMK Senawang 3. Pada ketika ini, hanya sebanyak 6 pakej pengajian sahaja yang telah ditawarkan kepada 130 orang pelajar kohort pertama ini.
Pada 25 Ogos 2016, Puan Hajah Rosni Binti Ab Jalil, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan dengan diiringi Encik Mohd Rozi Bin Hamzah, Ketua Unit Menengah telah mengadakan lawatan rasmi ke SMK Senawang 3 dengan tujuan untuk memperakukan cadangan penubuhan Kolej Tingkatan Enam yang pertama di Negeri Sembilan kepada Bahagian Perancangan dan Dasar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pada 1 November 2016, Tuan Haji Md Fiah Bin Md Jamin telah dilantik sebagai pengetua ketiga bagi menggantikan Tuan Haji Hamidon bin Haji Khalid yang berpindah ke SMK Warisan Puteri. Pada 1 Februari 2018, Tuan Haji Murad Bin Nordin telah dilantik sebagai pengetua keempat SMK Senawang 3. Pada tahun ini, jumlah enrolmen pelajar aliran perdana adalah seramai 355 pelajar manakala tingkatan enam ialah 470 pelajar.
Pada 13 Julai 2019, pihak pengurusan sekolah telah mengorak langkah untuk membuat penjenamaan baharu nama sekolah daripada SMK Senawang 3 kepada SMK Taman Forest Heights. Perasmian SMK Taman Forest Heights telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin Bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Nama sekolah yang baharu ini telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia pada 17 Disember 2018. Perasmian sekolah ini adalah bertujuan untuk menjadikan SMK Taman Forest Heights sebagai “new branding” yang setanding dengan sekolah-sekolah sedia ada di sekitar Senawang. Pada 15 Oktober 2019, Encik Awalludin Bin Abu Hassan telah melapor diri sebagai Pengetua SMK Forest Heights yang kelima. Perkhidmatan beliau di sekolah ini adalah sehingga 23 Januari 2020. Pengetua SMK Forest Heights yang keenam ialah Tuan Haji Norfaimi Bin Mohamad Nor yang melapor diri pada 23 Januari 2020.
Sejajar dengan hasrat JPNS untuk mewujudkan Pusat Tingkatan Enam Mod 1 di SMK Taman Forest Heights, maka pada 3 Januari 2021, proses penyuraian pelajar tingkatan 2 dan tingkatan 3 ke beberapa sekolah berhampiran telah dilakukan manakala pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 4 tidak didaftarkan di SMK Forest Heights. Pelajar tingkatan 5 yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2022 adalah merupakan pelajar kohort terakhir bagi aliran perdana. Pada 24 Jun 2021, seramai 16 orang guru daripada SMK King George V dan SMK St. Paul telah dipindahkan secara pentadbiran ke Kolej Tingkatan Enam Forest Heights Seremban.
Pada 29 Jun 2022, pihak pengurusan sekolah telah memaklumkan hasrat untuk menukar nama sekolah daripada SMK Taman Forest Heights kepada Kolej Tingkatan Enam Forest Heights Seremban dalam Mesyuarat Agung PIBG SMK Taman Forest Heights kali ke-16 / 2022. Penjenamaan semula nama baharu sekolah kepada Kolej Tingkatan Enam Forest Heights Seremban amat wajar dan perlu dilakukan kerana SMK Taman Forest Heights kini hanya mempunyai pelajar dan guru tingkatan enam sahaja.
Selain itu, penjenamaan semula nama baharu sekolah dapat memberikan suatu gambaran kepada masyarakat tentang tahap pendidikan yang lebih tinggi kepada pelajar tingkatan enam. Tambahan pula, pertukaran nama baharu sekolah telah menjadi amalan Pusat Tingkatan Enam (PTE) Mod 1 di negeri-negeri lain untuk menukar nama sekolah kepada Kolej Tingkatan Enam (KTE). Sehingga 20 Jun 2023, bilangan guru ialah seramai 99 orang manakala kakitangan sokongan ialah 10 orang. Sementara itu, jumlah enrolmen pelajar semester 2 ialah seramai 414 orang.